Sunday, February 17, 2008

Bengkel Zakat Industri Kewangan



Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS) telah menganjurkan Bengkel Zakat Industri Kewangan bermula 30hb Januari hingga 31hb Januari di Hotel Bluewave Shah Alam. Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato Setia Hj Mohd Adzib B Mohd Isa.
Objektif bengkel ini terbahagi kepada dua iaitu membangunkan prinsip-prinsip umum taksiran zakat perniagaan untuk pelbagai institusi kewangan dan membangunkan prinsip-prinsip umum taksiran zakat untuk simpanan atau pelaburan dalam pelbagai jenis produk kewangan.Bengkel yang diadakan buat julung-julung kalinya ini adalah pertemuan seumpamanya di Malaysia yang melibatkan perjumpaan pelbagai pihak (stakeholder) dalam persekitaran produk-produk kewangan seperti: institusi zakat, practitioner perbankan, kesatuan bank (AIBIM) dan badan kawal selia kewangan dan pasaran modal di peringkat kerajaan persekutuan (SC dan BNM).
Perbincangan menumpukan tentang prinsip dan asas kiraan zakat untuk simpanan atau pelaburan dalam harta-harta kewangan (financial assets) berbanding pelaburan dalam harta tetap (physical assets) yang secara umumnya tidak dikenakan zakat.Pelbagai isu berkenaan simpanan dan pelaburan telah dibincangkan. Antaranya kewajipan zakat terhadap jumlah nilai akaun pendeposit (dana pendeposit) di dalam institusi perbankan.
Ahli-ahli bengkel telah bersetuju bahawa dalam isu ini, kewajipan membayar zakat adalah di pihak kepada pendepositor itu sendiri dan bukannya bank atau institusi yang menguruskan dana deposit tersebut. Sebaliknya, pembayaran zakat daripada jumlah dana deposit oleh pihak bank dilakukan atas konsep pilihan (bukan kewajipan) dan merupakan kelebihan sahaja. Isu ini berbeza dengan pembayaran zakat perniagaan untuk entiti perniagaan (bank atau institusi) di mana pembayaran zakat entiti adalah turut merangkumi pemilikan oleh pemilik-pemilik bersama (pemegang-pemegang saham).
Ini selaras dengan hukum bayaran zakat harta bercampur (khultah) bagi harta yang disatukan untuk tujuan diniaga atau dikembangkan.Perbincangan juga menerangkan bagaimana sifat dan kontrak deposit di bank jauh telah berubah berbanding dahulu. Selain daripada akad simpanan berbentuk ‘plain vanilla’ seperti wadiah yad dhamanah dan mudarabah, telah wujud applikasi akad-akad baru dalam kontrak deposit (atau deposit berstruktur) di institusi kewangan, seperti deposit berasaskan tawarruq, wakalah dan lain-lain.
Ahli bengkel juga telah didedahkan dengan kemajuan pesat dalam pembangunan produk kewangan Islam samada produk-produk di pasaran primer mahupun pasaran sekunder (dimana ‘aset atau sekuriti’ tersebut diperdagangkan untuk kali kedua dan seterusnya). Selain itu, bengkel ini juga membincangkan prinsip-prinsip taksiran zakat untuk ‘perniagaan’ institusi kewangan yang secara asasnya merupakan perniagaan perkhidmatan (samada memberikan pembiayaan daripada sumber deposit atau perkhidmatan berasaskan fi)Sebelum bengkel berakhir, peserta bersetuju untuk mewujudkan satu bentuk kajian yang lebih terperinci berkenaan pelbagai aspek terkini yang wujud dalam pelbagai produk kewangan yang sifatnya kompleks, seterusnya melahirkan satu kerangka atau prinsip umum taksiran zakat untuk produk-produk ini.
Di antara wakil-wakil organisasi yang menyertai bengkel ini ialah daripada Prof Madya Dr Aznan Hassan, Ahli Penasihat Shariah, Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Nurdin Ngadimon, Jabatan Pasaran Modal Islam, Suruhanjaya Sekuriti (SC), En Mohamed Rithuan Mohamed Shamsidun, Pengerusi Eksekutif, Persatuan Institusi Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) dan delegasi seramai enam orang daripada CIMB Islamic Bank Berhad yang diketuai oleh Tn Hj Ismail Mahayudin, Penasihat, CIMB Islamic Bank Berhad. Dipihak LZS (MAIS), empat panel pakar rujuk LZS (MAIS) yang menyertai bengkel ini ialah Prof Madya Dato Hj Mokhtar Shafii, Prof Madya Dr Hailani Muji Tahir, Prof Madya Syed Mohd Ghazali Wafa dan Prof Madya Dr Mujaini Tarimin. Peserta jemputan lain mewakili firma akauntan bertauliah AFTAAS, Wan Ali Jaafar & Associates serta Presden, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA).

No comments: